KAHERAH – MESIR. Kumpulan kedua Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) ke Gaza bersama kira-kira tujuh tan bekalan makanan dan ubat-ubatan selamat tiba di Lapangan Terbang Kaherah, Ahad.
Kumpulan itu yang terdiri daripada 11 pengamal media, lapan sukarelawan dan seorang doktor tiba di lapangan terbang itu pukul 6 pagi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia).
Naib presiden KP1M, Datuk Mohd Farid Hassan yang tiba di Kaherah sebelumnya bersama kumpulan pertama berkata bekalan berkenaan akan disimpan di Dewan Malaysia di Abbasiah, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Kaherah.
“Kami akan cuba mendapatkan pelepasan dari kargo lapangan terbang dan mengkaji sama ada kami boleh memindahkan semua bekalan dari terminal ke Abbasiah hari ini bersama tiga tan metrik bekalan yang kami bawa sebelumnya bersama kumpulan pertama di terminal,” kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Kumpulan pertama lapan orang tiba di Kaherah, Khamis lepas sementara baki 65 anggota misi kemanusiaan diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka berlepas dari KLIA, Selasa ini.
Pada masa ini, Mohd Farid berkata kumpulan pengurusan KPIM di Malaysia dan Kaherah masih berusaha mendapatkan permit untuk memasuki Gaza.
Kumpulan itu merancang untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah bersama 40 tan metrik bekalan makanan dan ubat-ubatan, Rabu ini.
Bantuan kemanusiaan itu adalah untuk mengurangkan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza, yang menjadi sasaran serangan hebat oleh tentera Israel.
Setakat ini lebih 2,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terkorban dalam serangan itu. – BERNAMA
KUALA LUMPUR – “Pergi ke gelanggang bersendirian. Tiada siapa yang mengiringi saya lagi,” demikian kata legenda badminton China, Lin Dan dalam hantaran laman media sosial Weibo susulan pengumuman persaraan seteru tradisi dalam gelanggang dan sahabat lamanya, Datuk Lee Chong Wei.
Juara dunia lima kali itu turut berkongsi sebuah lagu berjudul, ‘My friend, don’t cry’ dalam hantaran di laman sosial terbesar China itu.
Selain Lin Dan, bekas pemain Denmark, Peter Gade, yang juga bekas pemain nombor satu dunia pada 2006, turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Chong Wei atas kenangan manis yang dikongsi bersama selama beberapa tahun.
“Dunia badminton merindui anda dalam apa cara jua. Terima kasih atas semua detik yang kita berkongsi bersama selama beberapa tahun. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda bersama keluarga dan kawan-kawan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam laman Facebook rasminya.
Rakan senegara Gade, Victor Axelsen, pemain nombor enam dunia, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Chong Wei.
Sejak pengumuman persaraan Chong Wei petang tadi, nama pemain berusia 36 tahun itu menjadi sohor terkini dalam Twitter dengan hampir 10,000 ciapan setakat 7 malam ini.
“Legenda badminton telah membantu menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan merentasi perkauman melalui sukan,” ciap akaun Twitter @Thashaj.
Seorang lagi pengguna Twitter @marxhyyy berkata: “Anda adalah kegemaran semua. Terima kasih, Datuk LCW. Selamat Bersara.”
Rakyat Malaysia turut membanjiri akaun rasmi Instagram Chong Wei dengan komen positif serta netizen melahirkan rasa sedih dengan pengumuman Chong Wei mengantung raketnya selepas 19 tahun mencurah bakti untuk negara di persada antarabangsa.
Chong Wei, 36, mengumumkan persaraannya pada sidang media khas di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya dengan dihadiri menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.