KUALA LUMPUR – Rakyat sudah muak dan mual dengan tindak tanduk pemimpin serta kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Pensyarah Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Justeru, katanya, Barisan Nasional (BN) harus buat kerja terbaik untuk memenangi hati rakyat, sekali gus merampas kembali kerajaan Persekutuan dari PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Tindak tanduk pemimpin PH semakin memualkan. Percakaran sesama mereka tidak boleh dibendung lagi. Lebih membahayakan, rahsia kelemahan keselamatan dan pertahanan negara didedahkan di khalayak.
“Lihatlah juga bagaimana reaksi mereka dengan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu,” katanya dalam tulisan yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Ridhuan Tee berkata, pimpinan UMNO dan BN perlu mengambil segala ruang dan peluang itu dengan menghindarkan kenyataan yang boleh meluntur hati rakyat.
“Misalnya, kenyataan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi mengenai Lailatul Qadar dan 18 missed call daripada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tahun lalu, kaitan dengan pelantikan menjadi Timbalan Perdana Menteri, gara-gara tidak dapat menunaikan umrah kerana pasport beliau masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.
“Pada hemat saya, Lailatul Qadar ini adalah sesuatu yang amat bersifat peribadi. Saya tidak fikir mereka yang bertemu dengannya akan menceritakan kepada orang ramai.
“Zahid mengambil sikap sedemikian. Sama ada itu petanda Lailatul Qadar atau tidak, kita serah kepada Allah, tetapi ucapan seperti itu tidak sepatutnya keluar,” katanya.
Katanya, Najib dan Ahmad Zahid serta bekas menteri sezaman dengannya perlu berada di belakang UMNO bukan di depan dan menyerahkan kepemimpinan parti sepenuhnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat.
Beliau turut setuju dengan saranan Najib agar kajian dibuat kenapa sambutan luar biasa diperolehinya meskipun tidak lagi menjadi perdana menteri dan sedang menghadapi tidak kurang 50 pertuduhan di mahkamah.
“Sekiranya Najib sedar daripada awal, sudah tentu lain keadaannya hari ini. Sebelum PRU14, cakap-cakap daripada rakyat marhaen begitu kencang. (Datin Seri) Rosmah (Mansor) isteri Najib, dilihat seolah begitu berkuasa.
“Meskipun, hanya persepsi, tetapi kepada rakyat itulah realiti. Kenapa Najib tidak boleh kawal Rosmah sehingga seolah kelihatan Rosmah itulah perdana menteri.
“Kini, apabila Najib berjalan tanpa Rosmah, rakyat marhaen mengerumuninya sehingga lupa skandal 1MDB, Jho Low dan perbicaraan berkaitannya yang sedang berjalan,” katanya.
Beliau beliau mengingatkan bekas Presiden UMNO itu agar jangan tersangat teruja pula dengan sambutan luar biasa rakyat yang diberikan kepadanya.
Sama seperti keyakinan BN untuk menang PRU14 dengan badan penyelidik, think tank dan kumpulan akademik pro Najib (BN) terlalu yakin boleh menang serta dapat majoriti lebih besar, sedangkan mereka yang merakyat dan mengatakan sebaliknya.
“Rakyat hanya menunggu masa sahaja tarikh PRU14 diumumkan. Bila diumumkan sahaja, rakyat sudah nekad dengan pilihannya menolak BN sehingga akhirnya kecundang,” ujar beliau.
Ridhuan Tee juga tidak menafikan hari ini Najib dan Ahmad Zahid serta beberapa menterinya masih popular, tetapi perlu ingat, apakah dengan hampir 50 pertuduhan itu, tidak ada satu pun yang akan lekat.
Pada pengamatannya, sokongan yang Najib dan Ahmad Zahid terima hari ini, bukan kerana rakyat terlalu suka atau yakin dengan mereka, tetapi rakyat terlalu muak dengan cara PH menerajui kerajaan.
“Hari demi hari berlalu, keadaan ekonomi tidak banyak berubah, malah rakyat semakin terhimpit. Begitu juga dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PH, semakin menyakitkan hati dan gagal mencuri perhatian rakyat.
“Terus terang, saya lebih suka Najib dan Ahmad Zahid duduk di belakang UMNO. Begitu juga dengan mereka yang pernah memegang jawatan menteri sebelum itu.
“Apa yang boleh dilakukan oleh semua bekas menteri ini adalah terus aktif dengan laman sosial mereka dan ciapan setiap hari. Rakyat suka membaca dan mendengarnya,” kata beliau.
Pengamalan yang ada padanya begitu mahal harganya, meskipun mereka pernah melakukan kesilapan semasa memegang kuasa dahulu. – MalaysiaGazette