BEKAS perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mempersoalkan logik melaksanakan caj kesesakan bagi Terowong SMART dan pengecualian tol pada waktu malam.
“Laluan Terowong SMART mirip laluan lebuh raya di atas.
“Biasanya, pengguna akan menggunakan Terowong SMART hanya pada masa laluan lebuh raya atas sesak.
“Tapi pada waktu malam atau pada masa laluan biasa itu tak sesak, jarang ada kereta akan menggunakan Terowong SMART.
“Apa gunanya nak bagi tol free hanya pada waktu malam di mana orang tak akan menggunakan Terowong SMART?” soalnya dalam catatan di Facebook hari ini.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan tawaran untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya bertol di Lembah Klang pada harga RM6.2 bilion.
Empat lebuh raya itu adalah Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) bernilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Sprint) membabitkan RM1.984 bilion, Kesas Sdn. Bhd. bernilai RM1.377 bilion dan Terowong SMART pada nilai RM369 juta.
Gamuda Bhd. memiliki 70 peratus kepentingan dalam Kesas, Sprint (52 peratus), Litrak (44 peratus) dan 50 peratus dalam Terowong SMART. Litrak ialah pengendali Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
Penawaran itu sejajar janji Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 lalu untuk memansuhkan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat dan berdasarkan terma perjanjian konsesi, jika ia memenangi PRU14. – FMT