GEORGE TOWN – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengulangi bahawa kebanyakan projek dan penjualan aset kerajaan dilakukan melalui tender terbuka.
Menjawab pertanyaan Presiden MCA, Wee Ka Siong, mengapa Kementerian Kewangan sekarang mencari ejen untuk menjual bangunan konsulat Malaysia di Hong Kong dan tidak menggunakan kaedah tender terbuka, Lim berkata, kaedah tender terbuka akan melibatkan pelantikan ejen hartanah untuk menjalankan tender terbuka.
“Malah ejen hartanah juga dilantik melalui tender terbuka.
“Keseluruhan proses adalah melalui tender terbuka tidak seperti kerajaan terdahulu. Jadi, saya tidak faham mengapa dia (Wee) mempersoalkan proses ini sedangkan ia dilakukan melalui tender terbuka.
“Kami berharap Wee Ka Siong tidak terus berpura-pura tidak faham kerana dia berkali-kali berpura-pura tidak faham semata-mata untuk bermain politik,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Jalan Batu Perempuan, Air Itam di sini, hari ini.
Semalam, The Star Online melaporkan Wee bertanya sama ada ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjual aset di luar negara melalui perantara dan broker.
Lim berkata, kerajaan menetapkan tawaran harga rizab bangunan itu pada RM1.6 bilion.