JOHOR BAHRU – Pertemuan antara keluarga pelajar dan guru yang terbabit dalam kejadian merotan di sebuah sekolah dalam bandar raya ini baru-baru ini berjalan dengan damai dengan kedua-duanya berlapang dada.
Exco Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, pertemuan antara kedua-dua pihak itu berlangsung di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga turut mengambil kesempatan memohon maaf antara satu sama lain selain mengakui kesilapan yang dilakukan.
“Pertemuan berjalan dengan lancar dengan kedua-dua pihak memohon maaf. Pihak pelajar juga telah menarik balik laporan polis semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminolhuda berkata, pendekatan perbincangan dan permuafakatan antara pihak-pihak terlibat juga telah dilaksanakan di peringkat sekolah dan PPD Johor Bahru bagi menangani insiden secara holistik.
“Bagi memastikan penyelesaian dibuat lebih adil, jabatan tidak seharusnya mengetepikan peraturan sedia ada yang berkuat kuasa di samping mengambil kira aspek kebajikan kedua-dua pihak guru dan murid.
“Jabatan memandang serius insiden ini kerana melibatkan kredibiliti profesion perguruan dan proses kemenjadian murid itu sendiri sebagaimana hasrat yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Johor menyeru agar semua sekolah dan warga pendidik di negeri ini sentiasa memahami peraturan sedia ada agar dapat mengawal tindakan menangani disiplin murid secara tidak beremosi.
“Terima kasih diucapkan kepada PPD Johor Bahru dan pihak sekolah kerana cepat mengambil tindakan dengan mengadakan sesi permuafakatan antara yang terlibat yang membawa kepada penarikan balik laporan polis dibuat oleh ibu pelajar.
“Pihak sekolah juga diingatkan agar memastikan kejadian seumpama ini tidak akan berulang semula. Persefahaman berkaitan isu ini yang melibatkan kedua belah pihak telah dapat dijalankan dengan harmoni,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi dua minit 28 saat menunjukkan seorang wanita meminta penjelasan daripada seorang guru lelaki berikutan anak perempuannya dirotan.
Dalam rakaman itu guru berkenaan dilihat memberi penjelasan mengenai tindakannya merotan pelajar terbabit, namun dipertikaikan ibu berkenaan sambil menunjukkan kesan rotan pada tubuh anaknya. – Sinar Harian