KUALA LUMPUR – Muhammas Haziq Abdul Aziz, individu yang mengaku dalam video intim bersama seorang lelaki mirip menteri Kabinet didakwa rapat dengan kem Reformasi 20 tahun dibawah bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semasa pemilihan PKR tahun lalu.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Blisson Zainuddin mendakwa, dia mengenali Muhammad Haziq sejak pemilihan PKR lepas dan mengetahui Ketua AMK Santubong itu berada dalam kem Rafizi.
“Lelaki tersebut saya kenal sejak pemilihan PKR yang lepas, dia dikenali sebagai baru masuk ke PKR yang sebelum ini dikenali aktif dalam Barisan Nasional (BN).
“Namun, walaupun baru masuk parti, dia diberi kelulusan khas bertanding dalam pemilihan parti dan dikenali juga rapat dengan kem Reformasi 20 tahun dibawah Rafizi Ramli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim.
Sementara itu, tambah Blisson, penyebaran video lucah yang didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet sejak kelmarin merupakan fitnah dan satu perancangan jahat.
“Hari ini saya telah membuat satu akuan bersumpah berkenaan lelaki tersebut (Haziq) bersungguh-sungguh mendesak saya bagi mengetahui butiran jadual Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan.
“Sepanjang kempen PRK Sandakan, saya dihubungi lelaki tersebut, Muhammad Haziq banyak kali bertanya kepada saya berkenaan jadual dan aktiviti termasuk tempat penginapan Mohamed Azmin melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsAap,” katanya.
Katanya lagi, walaupun telah mengundang rasa tidak senang dirinya kerana Muhammad Haziq terlalu mendesak, namun atas dasar politik dan tanggungjawab maka dia melayani permintaan Haziq tersebut.
“Selepas PRK Sandakan berlangsung dan dalam minggu lepas dia ada hubungi saya melalui panggilan telefon meminta saya mengabaikan dan mendedahkan kepada sesiapa mengenai komunikasi dia dan saya.
“Saya sendiri pelik namun tidak mengambil serius namun setelah terdedah video yang mana dia menfitnah Mohamed Azmin, saya mula memahami kenapa dia bersungguh mendesak saya mendapatkan butiran lawatan Mohamed Azmin dan saya sangat yakin ia berkaitan perancangan jahat,” katanya. – UTUSAN ONLINE