PUTRAJAYA – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini untuk membantu siasatan berhubung isu land swap membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.
Beliau tiba di perkarangan SPRM kira-kira pukul 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna hitam.
Hishamuddin yang ditemui pemberita berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya tanpa rasa takut atau berselindung.
“Paling penting, kepentingan askar-askar dan keluarga mereka.
“Saya pun tidak tahu, apa soalan (yang akan diajukan oleh SPRM). Tunggu saya keluar,” katanya.
Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki telah memaklumkan bahawa akan memanggil Hishamuddin berkaitan isu tersebut.
Selain itu, SPRM juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berhubung isu land swap.
Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga land swap membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.