KAHERAH – Kumpulan hak asasi manusia, HRW mendakwa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kematian bekas Presiden negara ini, Mohamed Morsi di tengah-tengah desakan antarabangsa meminta siasatan yang adil dan telus terhadap keadaan persekitaran beberapa jam sebelum pemimpin itu meninggal dunia.
Menurut pihak berkuasa, Morsi Presiden pertama Mesir dipilih secara demokrasi meninggal dunia semalam selepas pengsan di sebuah mahkamah di sini semasa menghadapi perbicaraan berhubung kes pengintipan.
Lapor pendakwa raya Mesir, laporan perubatan menunjukkan tiada kecederaan terbaharu terhadap jenazah Morsi selepas pemimpin berusia 67 tahun itu dipenjarakan sejak hampir enam tahun lalu selepas digulingkan tentera pada 2013.
“Kerajaan Mesir hari ini bertanggungjawab atas kematiannya, memandangkan kegagalannya menyediakan rawatan perubatan yang mencukupi atau hak asasi seorang banduan,” kata Human Rights Watch (HRW) dalam satu kenyataan kepada Al Jazeera.
Kenyataan HRW itu senada dengan laporan dikeluarkan sebuah panel dianggotai ahli Parlimen Britain dan peguam yang memberi amaran terhadap kurangnya rawatan perubatan yang mungkin mengakibatkan kematian awal Morsi. – Agensi