KLANG – Remuk hati seorang ibu apabila bukan sahaja mendapati anaknya penagih dadah malah bersekedudukan dengan kekasihnya selama lima hari di rumah mereka di Pandamaran Jaya, semalam.
Perkara itu terbongkar menerusi Ops Cegah dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pukul 10 malam terhadap pasangan kekasih berusia 33 dan 34 tahun.
Sumber memberitahu, serbuan itu hasil maklumat awam terhadap penglibatan suspek lelaki dalam penyalahgunaan dadah dipercayai sejak tujuh tahun lalu.
Katanya, ibu mangsa berusia 70 tahun didapati terkejut apabila rumah mereka dikunjungi AADK.
“Kami terpaksa menunggu selama 30 minit sebelum anak suspek membuka pintu dengan semasa pemeriksaan dilakukan didapati bilik tersebut tidak berlampu.
“Anggota yang bertugas kemudiannya terkejut apabila mendapati seorang wanita yang merupakan kekasih suspek menyorok di belakang pintu bilik,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Sumber sama turut memaklumkan, kekasih suspek didapati telah berada lima hari di rumah itu dan dipercayai telah bersekedudukan sambil menghisap dadah.
Ujarnya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu.
“Siasatan awal turut mendapati wanita terjebak dalam penagihan dadah sejak lima tahun lalu dengan mendapat bekalan dadah daripada kekasihnya.
“Kedua-dua suspek merupakan penganggur dan lelaki itu dikatakan mendapatkan wang bekalan dadah daripada ibunya,” katanya.
Jelas sumber itu, bekalan dadah syabu itu diperoleh suspek dengan harga di antara RM30 hingga RM50 bagi penggunaan selama dua hari.
“Ibu mangsa dikatakan tidak pernah mengetahui penglibatan anaknya dan kehadiran kekasihnya di rumah itu susulan wanita itu hanya berada di dalam bilik sahaja.
“Suspek lelaki itu didapati sempat memohon maaf daripadanya ibunya yang menangis sebelum dibawa ke Pejabat AADK Klang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi AADK Klang, Ezwan Shahrin Saihani mengesahkan perkara itu dengan 16 penagih dadah ditahan termasuk pasangan kekasih itu bermula operasi pukul 9 pagi hingga 12 malam.
“Kesemua suspek yang ditahan positif syabu dan heroin dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya. – K! ONLINE