KANGAR – Isu operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) adalah salah satu perkara membuktikan Pakatan Harapan (PH) tidak konsisten dalam sebarang dasar yang cuba diketengahkan mereka sekali gus menyebabkan rakyat menjadi keliru.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, hal demikian apabila terdapat kenyataan kontra membabitkan sesetengah pemimpin PH dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu ini.
Dalam masa sama katanya, isu itu juga adalah antara perkara yang diperjuangkan oleh beberapa pemimpin PH seperti Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack sejak 10 tahun lalu, namun apabila menjadi kerajaan, mereka masih belum mampu membuat keputusan.
“Isu Lynas sekali membuktikan PH tidak konsisten dalam sebarang dasar dan pegangan politik mereka. Malah, kita juga dapat lihat kenyataan kontra dalam isu Lynas ini, ada pemimpin dalam kerajaan sendiri kata boleh, ada pula kata tak boleh.
“Kenyataan berbeza ini menyebabkan rakyat tidak boleh menilai apa sebenarnya pegangan PH,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Jepun kelmarin, Dr. Mahathir dilaporkan mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara itu.
Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Kuantan, Pahang itu selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.
Sementara itu, Shahril Sufian turut menggesa Fuziah dan Wong Tack iaitu dua pemimpin PH yang begitu lantang menentang operasi kilang memproses nadir bumi itu agar menyatakan pendirian jelas dalam isu tersebut.
Katanya, jika pendirian mereka berbeza dengan Dr. Mahathir dalam isu berkenaan sila nyatakan bukannya dengan ‘bermain tarik tali’ kerana rakyat sudah muak.
“Nyatakan pendirian dengan jelas sama ada boleh atau tidak kilang berkenaan beroperasi, jangan asyik main kenyataan selamat sahaja. Kita tidak mahu apabila jadi kerajaan, nada pun berubah,” katanya.- UTUSAN ONLINE