KOTA BHARU – Kanak-kanak Orang Asli suku kaum Batek, Nasri Rosli, 3, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini meninggal dunia petang semalam.
Perkara tersebut disahkan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy.
Waytha Moorthy berkata, dia menerima berita sedih itu dan jumlah keseluruhan mangsa Orang Asli suku kaum Batek dari Kuala Koh yang telah meninggal dunia meningkat kepada 15 orang.
“Unit Forensik HRPZ II akan melakukan bedah siasat pada hari ini untuk mengesahkan sebab kematian.
“Pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menghulur dan menguruskan bantuan kepada keluarga adik Nasri. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga adik Nasri,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Jumaat lalu sepatutnya menjadi hari yang gembira buat Rosli Jong, 30, apabila diisytihar bebas daripada jangkitan radang paru-paru setelah enam hari dirawat di HRPZ II.
Namun, Rosli yang merupakan salah seorang daripada 112 penduduk Orang Asli suku kaum Batek dari Kuala Koh yang dijangkiti penyakit itu tetap dirundung sedih dan gundah kerana anak kecilnya, Nasri masih tidak sedarkan diri dan bernafas dengan mesin bantuan pernafasan.
Selain itu, dua lagi anak Rosli iaitu Jo, 6, dan Ja, 4, juga menunjukkan simptom sama dan sedang dirawat di Hospital Kuala Krai, Kuala Krai. – K! ONLINE