SEREMBAN – Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad menegaskan adalah tidak wajar Kementerian Pendidikan mendapatkan pandangan bukan Islam bagi menambah baik silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Beliau berkata, ini kerana mereka tidak memiliki kefahaman mengenai hukum dan peraturan agama tersebut berbanding orang Islam sendiri.
“Apabila pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai perkara itu sampai kepada saya, saya tertanya-tanya kenapa pula bukan Islam nak tentukan macam mana hal-hal orang Islam?
“Mereka mungkin akan ikut cara akal sedangkan orang Islam ikut ilmu yang kita tahu. Peraturan ilmu, iktikad, akidah dan amalan Islam lain. Memang tidak sepatutnya pandangan bukan Islam diambil untuk memperbaiki hal-hal berkaitan pendidikan Islam.
“Mereka tidak ada asas dan tidak percayakan Islam, bagaimana mereka nak tentukan apa yang baik untuk agama itu. Serupa juga kalau pandangan orang Islam diambil untuk baiki ibadat bukan Islam, kita tak tahu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengarah restoran itu, Mohd. Ismail Abu Bakar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching semalam yang mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas bagi meneliti isu-isu melibatkan Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemudian mempersoalkan tindakan tersebut yang disifatkan tidak sesuai kerana orang bukan Islam tidak memahami agama itu dan bakal mencetuskan kecelaruan dalam masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, jika perkara itu dibenarkan, ia akan menimbulkan lebih banyak pertentangan pendapat berhubung ajaran Islam yang sebenar.
“Antara sesama Islam sendiri dalam bab akidah, tauhid, sifat 20 ada berbeza pendapat. Semua itu akan jadi masalah, lebih-lebih lagi kalau bukan Islam ada pengaruh dari kumpulan Islam tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE