KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dalam peringkat akhir merangka Rang Undang-Undang (RUU) berhubung pendanaan politik sebelum dibentang di Parlimen.
Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata ia termasuk penerimaan dana asing dari luar negara kepada badan-badan politik.
“Kerajaan sedang menggubal sebuah undang-undang tentang pendanaan politik ini termasuk bagaimana dana politik itu dikumpul, daripada mana sumbernya dalam atau luar negara dan siapa yang boleh kutip dana.
“RUU ini sedang digerakkan oleh Abu Kassim di bawah GIACC, saya difahamkan ia sudah sampai di peringkat akhir dan beberapa siri perbincangan telah diadakan termasuk dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan parti politik lain.
“Jadi bila (akan dibentang di Parlimen) saya tidak tahu, tentunya akan siap sebelum PRU15,” katanya merujuk pilihan raya umum ke-15.
Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku “Bantuan Demokrasi Pendanaan Asing Di Malaysia” tulisan Takiyuddin Ismail di Universiti Malaya, hari ini.
Saifuddin berkata buku tersebut juga boleh dijadikan rujukan dalam usaha kerajaan melaksanakan RUU pendanaan politik. – FMT