PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad menggesa pesawah padi mengeluarkan lebih banyak hasil, bagi meringankan beban kerajaan yang terpaksa memberikan subsidi yang banyak.
Mahathir berkata kerajaan memperuntukkan lebih RM1.8 bilion setahun melibatkan 200,000 pesawah.
“Ini membebankan kerajaan, jadi kita mahu penanam padi menanam hasil yang lebih banyak,” padanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi hari ini.
Mahathir menjelaskan, ramai pesawah hanya memperoleh hasil sekitar empat tan padi di atas tanah seluas satu ekar, sedangkan mereka mampu mengeluarkan lapan tan padi dengan kaedah yang betul.
Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan sedang memikirkan langkah membantu meningkatkan hasil pendapatan pesawah, termasuk teknik penanaman lebih cekap dan prospek pertanian campuran.
Ini kerana pesawah kini berdepan risiko kemiskinan berikutan hasil yang rendah.
“Kita perlu lihat perkara ini secara menyeluruh dan dalam masa sama kita perlu jaga keselamatan makanan,” katanya.
“Jika kita mampu menjana lebih pendapatan menerusi tanaman lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka perlu memperuntukkan sedikit tanah mereka,” katanya.
Mahathir memaklumkan negara mengimport makanan berjumlah AS$60 bilion setahun, dan beliau mahu angka itu diturunkan sekurang-kurangnya sehingga AS$30 bilion, tanpa menjejaskan keselamatan makanan negara. – FMT