KUALA LUMPUR – Perselisihan faham antara aktres, Nabila Huda dengan ibu tirinya, Norish dilihat seperti sudah pulih apabila dia berkunjung ke rumah bapanya di Denai Alam, Shah Alam, semalam.
Hal itu dipercayai dirancang oleh pengarah popular, Erma Fatima yang merupakan kawan baik kepada Amy Search apabila turut mengundang Nabila dan suami ketika datang beraya di rumah legenda Rock tersebut.
Menurut komen yang ditinggalkan Nabila di laman Instagram Erma, dia mengucapkan terima kasih kerana mengatur pertemuan yang sudah lama diharapkan.
“Terima kasih Mama (panggilan kepada Erma) kerana akhirnya hajat tercapai.
“Anda seorang yang hebat kerana hanya dengan satu panggilan, saya muncul di sini. Saya berasa sangat gembira sekarang,” tulisnya lagi.
Menerusi beberap kemas kini di laman Instagram Erma juga dapat dilihat seperti sudah berlaku perdamaian antara dua beranak tersebut.
Awal minggu ini, timbul kekecohan antara Nabila dan ibu tirinya kerana ucapan Hari Bapa yang dibuat pelakon Munafik itu kepada Amy menerusi satu status laman Instagram.
Norish membalas status berkenaan dengan mengatakan Amy tidak pernah mengajar anak-anak menyambut Hari Bapa dan ia menimbulkan kemarahan Nabila yang menganggap ibu tirinya sengaja mencari punca untuk berbalah. – K! ONLINE