KUALA LUMPUR – Kerana bersemangat mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang, rakyat mungkin tidak berminat mengenai berita pelantikan peguam Latheefa Koya menjadi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tambahan pula tindakan mana-mana parti politik yang berkuasa melantik ahli parti sendiri mengetuai agensi kerajaan bukan sesuatu yang menghairankan.
Cuma apa yang menarik ialah perbezaan pandangan sesama ahli Pakatan Harapan (PH) sendiri, terutama PKR yang sebelum ini sering didakwa mempunyai dua kem.
Ada juga pemimpin PH daripada komponen lain turut menyatakan rasa tidak puas hati, namun mungkin kerana tiada pengalaman dan keberanian, mereka tidak berupaya mematahkan keputusan ‘berseorangan’ yang dibuat oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melantik Latheefa.
Beberapa pemimpin PKR dilihat bersungguh-sungguh mempertikaikan Latheefa atas alasan tidak menepati semangat janji-janji Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memperkasakan SPRM kononnya tidak mahu lagi berada di bawah telunjuk orang politik.
Antaranya Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Wangsa Maju daripada PKR, Datin Dr. Tan Yee Kew yang sehingga mempromosikan kempen mendesak Latheefa meletakkan jawatan menerusi petisyen dalam Internet.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dilaporkan meminta Dr. Mahathir memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut dan melihat penjelasan mengenai perkara berkenaan penting apatah lagi bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto PH dan Akta SPRM, malah tidak dimaklumkan kepada Kabinet.
Namun nada berbeza ditampilkan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang nampak lebih menerima dengan pelantikan tersebut.
Seorang penganalisis politik mendakwa pengaruh daripada pertembungan dua kem di dalam PKR menjadi antara sebab pelantikan Latheefa dipersoalkan.
Latheefa sebelum ini pernah juga mempertikaikan membidas amalan kronisme serta nepotimse dalam PKR dan perkara itu dikaitkan dengan pelantikan anak Anwar, Nurul Izzah untuk mengetuai PKR Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong lebih berani apabila meluahkan kerisauannya dan berharap pelantikan Latheefa bukan satu konspirasi untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE