SEKURANG-KURANGNYA 30 kubur dirosakkan dan dua lagi dibakar pihak tidak bertanggungjawab dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin Pasir Putih, Bachang, di Melaka, malam tadi.
Kejadian yang hanya disedari pada 8.30 malam itu, menggemparkan penduduk sekitar yang mula bergegas ke tanah perkuburan terbabit, bagi melihat keadaan kubur ahli keluarga masing-masing.
Pembantu Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Nik Syukran Muiz Rashid, 35, berkata, dia mengetahui banyak kubur dirosakkan terutamanya dicabut dan dipecahkan batu nisan, menerusi perkongsian penduduk kampung di WhatsApp.
“Tengoklah tiga kubur ini, kubur datuk, nenek dan bapa saudara saya, dirosakkan batu nisannya dengan dicabut, ada dua lagi kubur ahli keluarga saya, dipecahkan batu nisan dan satu lagi terdapat kesan pembakaran di atas kubur,” katanya, ditemui di tanah perkuburan terbabit, malam tadi.
Menurutnya, dia pada mulanya tidak menjangka kubur ahli keluarganya akan turut menjadi mangsa, namun sebaik melihat keadaan itu, timbul perasaan marah dan tanda tanya, siapakah pelakunya dan apakah motifnya.
Katanya, dia menggesa pihak berwajib terutamanya polis menyiasat dan memburu pelakunya yang dianggap terlalu jahat, merosakkan kuburan.
“Saya dan penduduk lain nak tahu siapa yang melakukannya, nak tahu apa tujuannya.
“Entahlah, adakah tindakan ini dibuat semata-mata khianat atau untuk menuntut ilmu ke macam mana, atau juga individu terbabit diupah untuk merosakkannya,” katanya lagi.
Bagi Eddie Arman Abu Bakar, 45, dia hanya mengetahui kejadian terbabit kira-kira 11 malam, lalu bergegas ke tanah perkuburan terbabit.
“Alhamdulillah, tiada kuburan ahli keluarga saya dirosakkan tapi saya tidak sangka perbuatan sebegini sanggup dilakukan.
“Saya lihat banyak batu nisan dipecahkan, dipatahkan, dicabut. Namun agak sukar untuk mengagak tindakan siapa malah laluan masuk ke tanah kubur ini banyak kerana tidak berpagar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sarang Helang Bachang, Nasran Mehat berkata, kejadian yang berlaku malam tadi, bukannya yang pertama.
Menurutnya, seminggu sebelum Ramadan lalu, satu kubur dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.
Namun katanya, kali ini tindakan melampau dilakukan apabila lebih 30 kubur dirosakkan dan terdapat dua kubur dibakar.
“Lebih 30 kubur dirosakkan ini membabitkan lapan keluarga, jadi saya rasa tindakan ini sudah dirancang,” katanya yang ke tanah perkuburan terbabit selepas menerima aduan daripada tiga pemuda yang mendakwa kubur-kubur di sini dirosakkan dengan batu nisannya dipecahkan sebelum Nasran hubungi polis.
Menurutnya, tanah perkuburan terbabit sudah lama dan terdapat kira-kira 4,000 kubur di situ, malah kedudukannya juga strategik di tepi Sungai Melaka dan di pinggir bandar.
Tinjauan Harian Metro, mendapati kerosakan yang dilakukan seolah-olah pelakunya ‘hilang akal’.
Penduduk kampung kelihatan menziarah tanah perkuburan terbabit sejak 8.30 malam, malah hingga 12 tengah malam masih ada dalam kalangan mereka ke lokasi terbabit bagi melihat keadaan kuburan saudara mara mereka.
Sepasukan anggota polis turut kelihatan menjalankan siasatan diketuai Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.
Cubaan petugas media mendapatkan komen daripada beliau bagaimanapun gagal. – myMetro Online