NILAI – Polis sedang memburu lelaki yang terlibat dalam satu rakaman video merosakkan barang makanan di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pihak premis membuat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 11.20 malam tadi.
Menurut beliau, polis sedang giat mengesan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Pengurus premis melihat video tular di media sosial yang berlaku di premisnya lalu membuat semakan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Lelaki terbabit merosakkan barang makanan dan minuman dengan sengaja menyebabkan premis itu kerugian RM30,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Berdasarkan rakaman video yang tular, lelaki terbabit dilihat menggoncang beberapa kek, meminum minuman berbotol dan mengalihkan produk-produk lain dari susunan asal yang berada di rak jualan kedai berkenaan.
Perlakuannya itu dirakam sendiri oleh rakannya dan dikongsikan melalui Instagram sebelum menjadi tular di media sosial sehingga menerima kecaman hebat netizen. – K! ONLINE