KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata gejala sesak nafas yang melanda dua buah sekolah di Pasir Gudang kini melibatkan 29 orang mangsa.
Menurut satu kenyataan hari ini, kesemua 29 mangsa telah mendapatkan rawatan iaitu 21 perempuan dan 8 lelaki.
Seramai 16 orang daripadanya adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan 2 dewasa, manakala 13 orang lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4) di mana kesemuanya adalah pelajar.
Bagaimanapun, punca kejadian masih belum dapat dikenalpasti.
“Operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada jam 8 malam pada 20 Jun 2019. Punca kejadian masih belum dapat dikenalpasti,” katanya hari ini.
Seramai 14 orang mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 orang mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru di mana 6 daripadanya telah dimasukkan ke wad.
Keadaan kesemua pesakit adalah stabil.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku.
Nasihat beliau, sesiapa yang mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan hendaklah mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat.
Semalam, kira-kira 15 murid-murid Sekolah Agama Taman Mawar sesak nafas akibat pencemaran udara.
Sekolah berkenaan terletak kira-kira tujuh kilometer dari Sungai Kim Kim.