PUTRAJAYA – Terdapat banyak saksi yang takut untuk tampil memberi kerjasama kepada polis dalam kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.
Superintendan Woon Tan Seng merangkap pegawai penyiasat kes itu berkata, pihaknya juga bergantung kepada maklumat daripada orang awam kerana kekurangan maklumat risikan.
“Saksi tidak nampak kita boleh mengaplikasikan akta perlindungan saksi untuk melindungi mereka. Oleh sebab itu, mereka ragui dan takut untuk tampil memberi kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis di sini hari ini.
Tan Seng yang merupakan saksi ke-48 berkata, antara kelemahan dalam kes berkenaan ialah masalah pertukaran maklumat antara agensi penguat kuasa selain kurangnya persefahaman.
Dalam perkembangn lain, Tan Seng berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Peguam Negara telah memohon untuk mengekstradisi 10 suspek warga Thailand namun, sehingga kini masih gagal ditahan.
Ketika menjawap soalan Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria mengenai dapatan punca kematian 106 pendatang asing tanpa izin ( PATI) akan kes itu, Tan Seng berpendapat mereka bukan didera.
“Saya percaya mereka mati sebab sakit, punca kesakitan menjadi perkara biasa di dalam hutan. Tambahan pula mereka hanya diberi makan sekali sehari dan hidup serba kekurangan di hutan.
“Ada saksi yang mengaku bahawa mereka dirotan selain terdapat kesan lebam dan balutan. Bagaimanapun, kecederaan itu bagi saya tidak menjadi penyebab kepada kematian,” katanya.
Ketika diminta cadangan penambahbaikan oleh ahli panel RCI, Tan Seng mengesyorkan agar pihak berkuasa menambah bilangan anggota di sempadan selain mempertingkatkan rondaan.
“Penggunaan teknologi yang canggih seperti dron juga dapat membantu selain tingkatkan pemahaman undang-undang sedia ada oleh semua agensi penguat kuasa di sempadan,” katanya.