SHAH ALAM – Pihak berwajib digesa menyekat penularan video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet dan memberi amaran keras kepada pihak yang terus-menerus mensensasikan isu tersebut di khalayak awam.
Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Amirudin Shari berkata ini kerana terdapat satu lagi video lucah fitnah telah dimuat naik ke laman web pornografi semalam.
Beliau berkata kepimpinan negara turut digesa mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik penularan video lucah berkenaan dan segera mengheret individu itu ke muka pengadilan.
“Mutakhir ini, perkembangan politik nasional telah dijejaskan oleh mainan yang jelik dan keji. Penularan video palsu untuk memfitnah seorang menteri kanan telah memasuki suatu fasa yang melampau dan memualkan.
”Ketika rakyat dan seluruh negara mengharapkan politik yang memberi harapan untuk perubahan dan pembangunan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kini, politik menjadi medan fitnah bukannya sebagai wasilah kepada kemaslahatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tegas Menteri Besar Selangor itu lagi, amalan politik sebegini boleh mencemarkan kesucian agama, tradisi dan budaya serta kemaslahatan rakyat khususnya umat Islam di negara ini.
Katanya, pertembungan politik seharusnya berlaku secara sihat serta menawarkan idea-idea yang mengangkat martabat rakyat dan negara bukannya melalui cara ‘desperado’ (terdesak) yang kotor seperti itu.
“Komplot politik jahat yang mengheret rakyat seharusnya tidak berlaku lagi di era Malaysia Baharu ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam kes video lucah terbabit dan menyifatkan penyebaran video berkenaan merupakan niat jahat untuk merosakkan imej dan prestasinya dalam politik.