KUALA LUMPUR – Kisah seorang pelajar Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci ketika menuntut di United Kingdom semata-mata untuk menghadiahkan tiket penerbangan kepada kedua ibu bapanya hadir ke majlis graduasinya bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Malaysia tetapi mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pujian kepadanya.
Muhammad Afiq Ismail, 23, dari Kuala Krai, Kelantan seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu bekerja sambilan sehingga 20 jam sehari, dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, UK.
Kerana tersentuh dengan kisah hidup dan mengagumi usahanya yang bekerja keras dan dedikasi, Seri Paduka dalam satu kenyataan kepada media, menzahirkan ucapan tahniah kepada Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.
“Seri Paduka juga kagum dengan sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan dia mencapai tahap kejayaan ini. Perjalanan hidup Afiq dan kedua orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua,” titah baginda.
Kisah Muhammad Afiq baru-baru ini dikongsi di Facebook oleh rakannya dan sejak itu telah tular di media sosial.
Menurut akhbar tersebut, graduan perakaunan dan kewangan itu kini membuat persiapan untuk kembali ke tanah air untuk memulakan kerjaya profesional di sebuah firma audit pada Oktober.