KUALA LUMPUR – Mengimbau pertemuan rasmi di sebuah restoran makan Jepun di ibu kota 15 tahun dahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz masih lagi berasa teruja apabila berbicara mengenai detik perkenalannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tidak dapat dilupakan pada saat itu, debaran Tengku Zafrul ketika berusaha menyembunyikan perasaan gementar kerana perlu berurusan dengan kerabat diraja dan lebih-lebih lagi pada waktu itu baginda merupakan Tengku Mahkota Pahang yang amat disegani rakyat.
Perasaan gementar itu bagaimanapun hilang dengan keramahan Al-Sultan Abdullah, sekali gus mewujudkan suasana mesra dan ceria.
Sikap peramah dan suka berjenaka yang dipamerkan baginda membuatkan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, serta mereka yang berada dalam mesyuarat makan tengah hari itu berasa tenang, hanya dalam masa yang singkat.
“Sejak pertemuan itu, kami terus berhubung dan mula berkawan. Mungkin disebabkan berkongsi hobi dan minat yang sama terutama dalam arena sukan, kami menjadi akrab sehingga ke hari ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB kepada Bernama dalam temu bual bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Tengku Zafrul, 46, merupakan antara kenalan rapat dan rakan karib baginda, yang sering meluangkan masa bersama dalam pelbagai aktiviti khususnya bersukan selain aktiviti rasmi dan tidak rasmi seperti melakukan program tanggungjawab sosial korporat.
Katanya, baginda amat menitikberatkan masa berkualiti untuk diluangkan bersama rakan-rakan. Antara aktiviti yang menjadi keutamaan adalah beraksi bersama di padang bola sepak mahupun polo, atau terkini Seri Paduka gemar mengeluarkan peluh di gelanggang skuasy.
Demi minat yang mendalam dalam bidang sukan, Tengku Zafrul berkata, mereka pernah mengembara bersama untuk menyaksikan pelbagai perlawanan sukan terutamanya bola sepak, di luar negara.
“Tahun lepas kami bersama-sama menyaksikan pertarungan akhir Piala Dunia FIFA antara Perancis dan Croatia di Stadium Luzhniki Moscow,” katanya.
Berbicara tentang sukan bola sepak dan pasukan pilihan masing-masing, Tengku Zafrul secara berjenaka menggambarkan hubungannya dengan Seri Paduka bagaikan ‘musuh’ kerana dalam sukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, baginda merupakan peminat setia pasukan Arsenal manakala beliau meminati pasukan Liverpool.