KISAH pasangan suami isteri yang memberikan nama anak mereka Google beberapa minggu lalu nampak gayanya telah mendapat perhatian syarikat teknologi gergasi dunia itu.
Menurut laporan Coconuts Jakarta, syarikat Google telah mengubungi bapa kepada bayi itu untuk memberi kejutan.
Difahamkan, pasangan Andi Cahya Saputra, 31, dan Ella Karina, 27 itu menerima hadiah istimewa daripada Google yang dihantar menggunakan teksi terus ke rumah mereka di Bekasi, Indonesia.
“Syarikat Google mengucapkan tahniah kepada kami serta mendoakan supaya bayi Google menjadi insan yang berguna dan akan membantu ramai orang apabila besar kelak,” katanya.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu tidak berkongsi apakah hadiah yang diterima daripada pengurusan Google.
Andi Cahya dan Ella sepakat menamakan anak mereka yang lahir pada 30 November lalu dengan nama Google.
Menurut laporan portal berita tempatan Kumparan, inspirasi untuk meletakkan nama berkenaan diperoleh pasangan berkenaan ketika kandungan Ella berusia tujuh bulan.
Andi berkata, pada awalnya, dia dan Ella mempunyai pilihan nama lain seperti Microsoft, iPhone, iOs, Windows dan sebagainya.
Bagaimanapun, mereka akhirnya menukar fikiran iaitu Google.
“Namanya Google. Hanya satu perkataan, G-o-o-g-l-e,” katanya. – Astro Gempak