KUALA LUMPUR – Cadangan Kementerian Kewangan untuk membeli empat konsesi lebuh raya pada kos RM6.2 bilion telah ditangguhkan bagi pemeriksaan semula tawaran.
Ini kerana, kerajaan termasuk Jemaah Menteri mendapati tawaran yang dibuat oleh kementerian itu terlampau tinggi.
Tawaran lebuh raya itu membabitkan syarikat konsesi Kesas Sdn. Bhd. (Kesas), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (Sprint), Lingkaran Trans Kota Sdn. Bhd. (Litrak) and Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (Smart).
Malah, ada yang mempersoalkan unjuran pendapatan yang akan dikenakan melalui caj kesesakan tidak mungkin mencukupi untuk membiayai pengambilalihan empat konsesi lebuh raya terlibat, menurut Straits Times yang memetik seorang menteri sebagai berkata.
Oleh yang demikian, seluruh cadangan digantung untuk disemak sepenuhnya.
Cadangan itu juga, menurut menteri berkenaan telah menyebabkan pertikaian dalam gabungan kerajaan Pakatan Harapan.
Ia disebabkan, tindakan Lim Guan Eng yang mengemukakan cadangan itu kepada rakyat dan mengemukakan tawaran pengambilalihan tanpa persetujuan Kabinet.
Guan Eng ketika mengumumkan cadangan pengambilalihan itu berkata, kerajaan mampu mendapatkan penjimatan sebanyak RM5.3 bilion melalui pengambilalihan empat konsesi lebuh raya.
Menurut beliau, pengguna pula dapat menjimatkan RM180 juta setahun, memandangkan harga tol telah dikurangkan mengikut caj kesesakan, iaitu penjimatan hampir RM2 bilion sepanjang hayat keempat-empat konsesi tersebut.
Guan Eng berkata, pengambilalihan itu tidak akan menggunakan wang kerajaan kerana proses pengambilalihan empat lebuh raya bertol dibuat oleh sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
SPV ini akan membiayai harga tawaran sebanyak RM6.2 bilion dengan penerbitan bon dan kutipan caj kesesakan adalah mencukupi untuk membiayai bayaran balik hutang, segala kos operasi serta penyenggaraan lebuh raya tanpa memerlukan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
Dengan kata lain, kos pengambilalihan tersebut akan dibayar balik dengan sendirinya daripada kutipan caj kesesakan tanpa membabitkan sebarang perbelanjaan kerajaan, kata Guan Eng.
Jika cadangan itu diterima, proses ini dijangka dapat diselesaikan pada 31 Disember depan.
Cadangan tersebut telah diterima oleh Gamuda yang menguasai kepentingan dalam syarikat-syarikat konsesi lebuh raya berkenaan.
Gamuda terlibat dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang bernilai RM46 bilion – telah mencetuskan kecurigaan dalam cadangan yang dibuat. – Agensi