ROMPIN – Kerajaan merancang tanah-tanah peneroka Felda dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dengan cara yang lebih profesional, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, pengurusan sedemikian diamalkan estet ladang besar milik orang asing sejak zaman pentadbiran British, yang membolehkan pemilik ladang masih memperoleh keuntungan walaupun marginnya kecil ekoran kejatuhan harga komoditi dan tanaman yang diusahakan, selain tidak perlu bergantung kepada subsidi kerajaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, usaha meyakinkan peneroka Felda untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya di kalangan generasi pertama yang sudah berusia lebih 60 tahun.
“Mereka sudah menjadi peneroka sejak awal dan untuk menukar mindset mereka susah. Tapi mereka adalah pemilik tanah dan kalau kita boleh mendapat kawasan yang lebih luas untuk diuruskan oleh mereka yang profesional, kita yakin boleh mengeluarkan lebih banyak hasil.Â
“Pendapatan boleh dibahagikan mengikut luas kawasan tanah yang disumbangkan. Mereka (peneroka) boleh bekerja dengan pengurusan ladang atau mendapat keuntungan hasil mengikut tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di sini hari ini.