KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 8 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes dan tetapkan bicara membabitkan kes anak Menteri Pertahanan, Ahmad Saiful Islam Mohamad yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah Januari lalu.
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menetapkan perkara itu selepas sebutan semula kes itu tadi.
Mengikut pertuduhan, dia yang berusia 31 tahun didakwa dengan memberikan diri sendiri dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol9-carboxylic acid atau THC ke dalam badannya sendiri di sebuah tandas sebuah pusat hiburan dekat Hotel W di sini pukul 2.05 pagi, 5 Januari lalu.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan dibawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dibawah Seksyen 38B akta sama selama tiga tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Josiendra Abu Senin manakala tertuduh diwakili peguam Nasar Khan.
Pada 13 Jun lalu, dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan berkenaan dan kemudian diikat jamin sebanyak RM3,000.
Anak ketiga Menteri Pertahanan bersama seorang lagi rakannya ditahan 6 Januari lalu ketika sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menjalankan Ops Hiburan Bersepadu pukul 12.30 malam di pusat hiburan tersebut. – K! ONLINE