PETALING JAYA – Sebuah badan bukan kerajaan membuat laporan polis dengan mendakwa dokumen bertandatangan palsu digunakan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International.
Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) berkata penggunaan dokumen tersebut, yang dikatakan mengandungi tandatangan palsu bekas pengarah bukan eksekutif syarikat berkenaan, sudah melibatkan integriti pendakwaraya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Kami percaya siasatan yang tidak lengkap telah dibuat sehingga pengemukaan dokumen bertandatangan palsu digunakan oleh pihak pendakwaraya dalam menyabitkan Najib,” kata pengerusinya, Muhammad A’zlan Abu Bakar dalam laporan yang dilihat FMT.
Pada 1 Julai lepas, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan tandatangan Suboh Md Yasin pada dokumen bank bagi memindahkan dana SRC telah dipalsukan selepas membuat perbandingan tandatangan menerusi projektor di mahkamah.
Suboh merupakan saksi ke-42 dalam perbicaraan Najib.
A’zlan seterusnya menarik perhatian kepada pengakuan Suboh bahawa tandatangan dalam arahan perbankan melibatkan pemindahan wang jutaan ringgit itu bukanlah tandatangannya, dan tertanya kenapa dokumen itu boleh dihantar ke mahkamah sebagai bahan bukti.
“Keterangan Suboh ini menunjukkan dokumen yang dihantar oleh pihak pendakwaraya di dalam kes mahkamah ini adalah dokumen yang mempunyai tandatangan palsu, dan sengaja dikemukakan bertujuan mengenakan Najib.”
Tuntut membuat laporannya di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya semalam. Ia menggesa polis menyiasat kenapa pendakwaraya dan SPRM tidak membuat laporan polis mengenai pemalsuan tandangan itu.
FMT cuba menghubungi Jabatan Peguam Negara dan SPRM untuk mendapatkan penjelasan. – FMT