KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan ekonomi Malaysia akan jatuh merudum sekiranya rakyat terlalu berjimat dalam berbelanja.
Sebaliknya, beliau berkata, rakyat perlu berbelanja dengan berhemah supaya tidak melebihi hasil atau pendapatan mereka.
Katanya, rakyat juga perlu pandai menguruskan kewangan masing-masing walaupun ia merupakan sesuatu perkara yang agak sukar dilakukan.
“Kalau hendak rakyat berjimat sahaja, saya rasa ekonomi Malaysia akan merudum. Ini kerana kita mahu dari segi penggunaan dan perbelanjaan mereka dapat meningkatkan ekonomi negara.
“Biar dipertingkatkan (perbelanjaan) secara berhemah agar ia tidak melebihi hasil dan pendapatan,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di sini hari ini.
Strategi literasi kewangan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tambah Guan Eng, masalah pengurusan kewangan turut dialami oleh kementerian-kementerian.
Katanya, pengalamannya sebagai Menteri Kewangan selama setahun menyaksikan betapa kementerian-kementerian ini bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk mendapatkan peruntukan tambahan.
“Kalau kewangan (Kementerian Kewangan) memang memadai, kita boleh bantu, tetapi kalau kewangan terhad kerana kita perlu capai sasaran defisit fiskal, itu pun agak sukar untuk dipenuhi. Tetapi kita akan berusaha bersama-sama.
“Kita nak tegaskan bukan jangan berbelanja, tetapi jangan berbelanja melebihi hasil atau pendapatan, supaya kita tahu nilai wang dan menguruskan perbelanjaannya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE