IPOH – Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang kini ditahan untuk siasatan berhubung kes video seks luar tabii yang membabitkan seorang menteru kanan dikatakan tidak diberikan makanan selama hampir 24 jam semasa disoal siasat oleh polis.
Peguamnya, Baldip Singh mendakwa, perkara itu diberitahu sendiri oleh Pengerusi PKR Perak itu Farhash kepadanya ketika beliau menemui Farhash semalam.
Beliau yang juga Naib Pengerusi 1 PKR Perak, berkata, Farhash mendakwa tidak diberikan makan sejak ditahan di Johor pada pukul 2 petang hari Selasa sebelum dibawa ke Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk disoal siasat.
Beliau berkata, sepanjang disoal siasat dari malam kelmarin hingga ke pagi semalam, Farhash tidak diberikan makan.
Katanya, beliau bertemu Farhash pada kira-kira pukul 11 pagi semalam ketika Farhash dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dari Balai Polis Bukit Aman semasa polis mahu mendapatkan permohonan reman.
“Majistret telah dimaklumkan mengenai keadaan Farhash yang tidak makan sejak ditahan telah meminta pegawai penyiasat memberi sedikit makanan kepada Farhash.
“Pada kira-kira pukul 1.30 petang semalam, barulah Farhash diberikan makanan oleh polis. Ini bermakna beliau tidak makan selama hampir 24 jam iaitu sejak ditahan pada hari Selasa pukul 2 petang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE