KUALA LUMPUR – Awang Besul, harimau belang yang ditangkap selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu minggu lalu, disahkan mati selepas dikuarantin.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) berkata, doktor veterinar mengesahkan spesies Harimau Malaya itu mati pada jam 5.30 pagi tadi manakala bedah siasat akan dijalankan segera.
PERHILITAN dalam satu kenyataan berkata, keputusan virologi diterima pada 22 Julai lalu menunjukkan Awang Besul positif ‘Virus Canine Distemper’ melalui ujian RT-PCR.
“Harimau itu dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak pada 19 Julai bagi mendapatkan rawatan intensif doktor veterinar jabatan dan dikuarantin.
“Pemantauan rapi di NWRC antara 20 Julai hingga 23 Julai menunjukkan ada tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan jangkitan saluran pernafasan.
“Rawatan yang diberi adalah secara simptomatik atau rawatan sokongan. Persampelan darah, serum dan calitan dilakukan manakala sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh pada 21 Julai untuk ujian penuh.
“Ujian menunjukkan ia positif ‘Virus Canine Distemper’,” kata kenyataan itu.
Jabatan itu berkata, pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan Awang Besul sudah dijalankan.
“Penyakit ‘Canine Distemper’ disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik seperti anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk harimau.
“Jika penyakit ini terkena pada harimau, ia akan menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia manakala kebarangkalian untuk sembuh adalah sangat tipis.
“PERHILITAN tidak menolak kemungkinan ‘Canine Distemper’ yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul Lama,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besul Lama, jabatan masih memantau kawasan berkenaan dan memasang perangkap harimau.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli meminta ramai menyalurkan maklumat terus kepada Jabatan PERHILITAN dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau. – BH Online