KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) diarahkan keluar daripada sesi sidang Dewan Rakyat hari ini dan digantung selama empat hari, apabila ingkar arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming untuk tidak mengganggu persidangan yang sedang berlangsung.
Hal itu bermula apabila Tajuddin tidak berpuas hati mengapa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak menunggu untuk menjawab soalannya mengenai Program Tanaman Kontan, tetapi mewakilkan Timbalan Menteri, Sim Tze Tzin.
Kerana luahan rasa tidak puas hatinya dianggap memakan masa yang lama, Kor Ming tidak membenarkan Ahli Parlimen Pasir Salak meneruskan peluang untuk bertanyakan soalan tambahan.
Keadaan itu membuatkan Tajuddin tidak mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan perang mulut antara kedua-dua mereka mengambil masa hampir 15 minit.
Akhirnya Kor Ming menggunakan Peraturan Mesyuarat 44 (2) untuk menghalau Tajuddin keluar selama dua hari.
Namun disebabkan masih enggan meninggalkan sidang mesyuarat, Kor Ming memerintahkan tempoh penggantungan itu dari dua hari menjadi empat hari.
Bagaimanapun, Tajuddin diperhatikan terus kekal menyertai persidangan yang berlangsung. – UTUSAN ONLINE