JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri hari ini menukar pendirian berhubung had umur belia dan menerima baik pindaan umur golongan itu 15 hingga 30 tahun, selaras dengan keputusan dibuat kerajaan pusat.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal pagi ini.
“Dalam mesyuarat Exco pagi ini, isu itu telah dibangkitkan dan dibincangkan secara tuntas yang mana maklum balas dan keresahan di peringkat akar umbi telah dibawa ke dalam mesyuarat, hasilnya, kerajaan negeri mengambil maklum sekali gus akan membantu menyelaraskan hal ehwal teknikal berkaitan keputusan itu.
“Berhubung had umur belia yang diputuskan oleh jemaah menteri kabinet kerajaan pusat dan konsensus bersama Majlis Tertinggi Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri menerima baik pindaan umur belia 15-30 tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menerusi satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri menetapkan untuk mengekalkan had umur belia di negeri ini antara 15 hingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan yang sudah dirangka dapat dilaksanakan.
Sheikh Umar berkata, kerajaan negeri menyedari bahawa perubahan yang melibatkan Akta 668 itu pasti akan memberi implikasi dalam keseluruhan pergerakan belia termasuk daripada aspek pendaftaran pertubuhan belia (ROY) dan ia juga pindaan akta yang berkait langsung dengan soal perundangan.
Tambahnya, ia bukan sekadar suatu dasar seperti Dasar Belia Negara yang pernah dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2015.
“Saya berpendapat isu itu selesai dengan hasil yang sangat positif dan saya berterima kasih dengan Menteri Besar dan barisan Exco yang komited merealisasikan sebuah perubahan yang bakal memanfaatkan belia dan anak muda seluruh negara,” katanya.