PUTRAJAYA – Pengiktirafan semula penarafan kredit kerajaan pada A- oleh S&P Global Ratings baru-baru ini menunjukkan kenaikan hutang langsung kerajaan tidak menjejaskan penarafan kreditnya.
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ini terutama apabila jumlah keseluruhan hutang dan liabiliti kerajaan telah dikurangkan.
“Pengekalan penarafan ini menunjukkan keyakinan syarikat penarafan kredit antarabangsa tersebut terhadap unjuran pertumbuhan Malaysia yang pesat.
“Keyakinan itu juga adalah berdasarkan profil institusi negara yang baik, asas ekonomi yang kukuh serta pengurusan hutang dan liabiliti kerajaan yang rapi,” katanya.
Guan Eng menambah, antara faktor utama pengekalan penarafan kredit Kerajaan pada A- adalah prospek ekonomi Malaysia yang sihat.
Selain itu, jelasnya, lencongan perdagangan yang berpunca daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat telah membolehkan pertumbuhan eksport Malaysia sekali lagi mengatasi unjuran pasaran. – UTUSAN ONLINE