KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa berkata kenyataan Timbalan Menteri Luar Negeri, Marzuki Yahya mengenai tindakan susulan kerajaan berkenaan isu Pulau Batu Puteh sudah mengelirukan Dewan Rakyat.
Beliau mengulas jawapan Marzuki di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu, di mana beliau dilapor berkata Malaysia akan mengemukakan semakan penghakiman semula kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Keesokannya, Marzuki menjelaskan jawapan tersebut, mengatakan ia bukan soal menuntut balik Batu Puteh, tetapi Malaysia mahu meneruskan pelaksanaan pengkhakiman ICJ menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC).
“Ini adalah kesilapan serius kerana ia melibatkan Singapura dan ICJ,” kata Annuar kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Annuar berkata jawapan Marzuki bertentangan dengan peraturan Dewan Rakyat dan pihaknya akan menulis kepada pejabat speaker meminta ia dibahaskan atau merujuk timbalan menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
Beliau juga menggesa Marzuki menarik balik atau perbetulkan jawapannya yang sudah dirakamkan dalam hansard.
“Sekiranya dia tidak melakukannya kita akan menggunakan Peraturan 36(12),” katanya, merujuk kepada peraturan merujuk Marzuki ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh seluas saiz separuh padang bola sepak milik Singapura dan Batuan Tengah (Middle Rocks) milik Malaysia, tetapi kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge) akan ditentukan kedua-dua negara dalam rundingan berhubung sempadan perairan masing-masing.
Tujuh mesyuarat MSJTC sebelum ini diadakan berkaitan proses perundingan pembatasan sempadan maritim antara Batu Puteh dan Batuan Tengah.
Mesyuarat MSJTC ke-8 dijangka berlangsung Oktober ini dengan Malaysia sebagai tuan rumah. – FMT