IPOH – Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, didesak mengemukakan permohonan maaf kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana membuat hantaran yang didakwa menghina melalui Twitter, semalam.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata Zambry yang juga ADUN Pangkor dalam ciapannya, melemparkan tuduhan dengan mendakwa usul semua ADUN dikehendaki mengisytiharkan harta yang diluluskan semalam sebagai hari terburuk dalam sejarah sidang DUN Perak.
Beliau yang juga ADUN Aulong, berkata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ngeh Ko Ham membaca ciapan itu dan mendakwa Zambry melemparkan fitnah terhadapnya.
“Jelas sekali usul semalam yang dibahas dan diluluskan oleh Dewan Yang Mulia adalah usul yang diluluskan DUN dan tidak pernah pun diluluskan oleh Speaker.
“Oleh sebab itu, saya memohon Zambry dan Khusairi memohon maaf kepada Dewan Yang Mulia dalam tempoh 24 jam jika mereka tidak menafikan ini adalah ciapan mereka. Saya cadangkan apalah sudinya mereka mohon maaf,” katanya pada sidang media di Bilik Sidang Media DUN Perak di sini hari ini.
Kor Ming berkata, tindakan Zambry dan Khusairi itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan hukuman setimpal boleh dikenakan atas kelakuan mereka kerana menghina DUN.
Katanya, terpulang kepada Speaker DUN untuk menerima permohonan maaf mereka dan sekiranya tiada permohonan maaf, tindakan berdasarkan kepada lunas undang-undang wajar diambil.
Zambry menerusi di Twitter semalam, berkata “Hari terburuk dalam sejarah Sidang DUN Perak bila Speaker buat keputusan untuk usul isytihar harta kepadanya. Kami berhujah untuk isytihar kepada SPRM bukan kepada Speaker sebab dia orang politik. Malah kami syorkan by-partisan comm untuk bincang bersama. Semuanya dilanggar dengan cara seorang diktator.”
Ciapan itu turut dikongsi dan diulang kicau oleh Khusairi hingga menimbulkan rasa tidak senang Speaker dan ADUN kerajaan. – BH Online