KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mencabar Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk mengambil tindakan ke atas bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz kerana membuat laporan palsu.
Kata Lokman, gesaan itu susulan kenyataan akhbar Abdul Hamid sebelum ini yang mengesahkan pelaku dalam video intim mengaitkan Haziq dengan seorang menteri kanan Kabinet adalah negatif.
“Maknanya Haziq Abdullah sebelum ini memberi keterangan palsu dan saya cabar Ketua Polis Negara untuk ambil tindakan ke atas Haziq kerana memfitnah seorang menteri kanan.
“Saya yakin bila Haziq dibicarakan, laporan sebenar tidak kira daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, CyberSecurity Malaysia atau mana-mana pakar forensik pasti mengesahkan yang ia tulen dan dengan mudah mengecam wajah pelaku sama ada sepadan dengan menteri kanan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu rakaman video sewaktu tiba dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) semalam seperti di petik laporan portal Sinar Harian hari ini.
Khamis lalu, Abdul Hamid mengesahkan kebarangkalian video intim tersebut tulen adalah tinggi, namun hasil analisis menerusi proses pengecaman wajah adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dikaitkan.