PULAU PINANG – DAP berharap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr. Mahathir Mohamad konsisten dengan pendirian sebelum ini untuk tidak menerima mana-mana pemimpin yang terlibat dalam rasuah atau skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi ahli parti tersebut.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sebelum ini juga BERSATU pernah menerima kemasukan beberapa pemimpin daripada UMNO yang tidak terpalit dengan skandal 1MDB malah pemimpin berkenaan juga perlu melalui proses tapisan serta saringan terlebih dahulu.
“Saya belum baca kenyataan terbaharu Dr. Mahathir, tetapi sebelum ini memang BERSATU ada terima ahli UMNO tetapi ada orang yang Dr. Mahathir tidak akan terima.
“Sebelum ini Dr. Mahathir ada sebut tentang ‘cooling period’ untuk buat penilaian sebelum menerima keahlian pemimpin tersebut, jadi saya harap apa yang dicakap adalah konsisten dengan apa yang berlaku sebelum ini,“ katanya dalam sidang akhbar di Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Dr. Mahathir yang mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik orang Melayu.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam. – UTUSAN ONLINE