KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak sanggup diperalatkan untuk menyingkirkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berikutan penularan video intim yang dikatakan mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Dr. Mahathir berkata, beliau percaya video intim yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin itu dibuat dan ditular untuk tujuan politik khususnya menghalang kejayaan politik beliau.
“Tindakan yang diharap menyusul tayangan ini ialah penyingkiran individu yang disasar. Tindakan ini boleh diambil oleh saya kerana saya berkuasa. Apabila saya ambil tindakan ini maka berjayalah pihak yang merancang perbuatan jahat ini.
“Saya tidak sanggup diperalatkan. Jauh sekali oleh perancang yang berniat jahat dan mengguna politik kotor.
“Agama saya melarang sengaja mengintip mencari keburukan orang. Apa yang dilakukan lebih buruk dari mengintip,” katanya menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc.
Tambah Dr. Mahathir, masalah itu akan ditangani sebagai masalah politik.
“Ini bukan soal moral. Ini adalah masalah politik. Ia akan ditangani sebagai isu politik,” katanya. – UTUSAN ONLINE