PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan berhak untuk mendapatkan semula wang yang telah terlebih bayar kepada syarikat milik kerajaan China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd. (CPP).
Menurut Perdana Menteri, syarikat berkenaan hanya menyiapkan 13 peratus projek sedangkan pembayaran yang dibuat adalah sebanyak 80 peratus daripada nilai projek berkenaan.
Sehubungan itu katanya, kerajaan berhak untuk mendapatkan semula wang yang terlebih bayar itu.
āSaya tidak nampak China ada sebab untuk berasa tidak puas hati, kita tidak mengambil wang untuk kerja-kerja yang telah dibuat, tetapi kita mengambil semula wang yang dibayar bagi kerja-kerja tidak dibuat,ā katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden BERSATU, Tan sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri ketika ditanya siapa yang memberi arahan supaya wang yang terlebih bayar itu ādirampasā, beliau berkata:
āSaya berpegang kepada prinsip di mana sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek, kerajaan berhak mendapatkan kembali wang.ā
Kementerian Kewangan sebelum ini menyatakan tidak pernah memberi sebarang arahan untuk merampas dana kira-kira RM1 bilion yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd. (CPP).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, arahan mengenai rampasan itu mungkin perlu dirujuk kepada agensi penguatkuasa, bukannya Kementerian Kewangan.
āSaya hanya mahu beritahu Kementerian Kewangan dan diri saya sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan untuk merampas dana itu.
āSekiranya ada rampasan dilakukan, anda boleh merujuk kepada agensi penguatkuasa. Itu sahaja yang saya mahu cakapkan,ā katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Sabtu lalu, media Singapura melaporkan, pihak berkuasa Malaysia telah merampas S$328 juta (RM993.3 juta) yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan China, China Petroleum Pipeline Engineering Ltd. (CPP).
Memetik laporan berkenaan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengarahkan syarikat perbankan gergasi global, HSBC supaya memindahkan dana yang berada dalam akaun CPP di Malaysia ke dalam Suria Strategic Resources Sdn. Bhd. iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, awal bulan ini.