KANGAR – Seorang penjual pakaian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Mee, 49, atau lebih dikenali Mee Tomoi bersama seorang lagi tertuduh yang sudah didakwa, secara bersama membakar kereta Honda Accord berwarna hitam milik kerajaan negeri dengan niat menyebabkan kerosakan di Jalan Persiaran Wawasan, di sini, pada jam 5 pagi.
Ahmad membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dibaca dengan Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGM), Nor Diyana Ab Shukor.
Mohd. Izham kemudian meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh.
Bagaimanapun, Nor Diyana memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh hanya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan, selain perlu menanggung isteri dan ibunya yang lumpuh.
Ainul Shahrin kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 5 Ogos depan.