KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri dan tiga anak-anak mereka membantah tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga terhadap pelbagai harta milik mereka yang disita tahun lalu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Syahirah Hanafiah yang mewakili Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga anak mereka selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Catherine Nicholas hari ini.
Menurut Syahirah, pihaknya akan memfailkan permohonan berhubung bantahan berkenaan dan notis perakuan segera sebelum atau pada 18 Julai ini.
“Kita membantah pihak ketiga menuntut harta yang disita itu. Secara asasnya harta dirampas di bawah nama responden pertama iaitu Datuk Seri Najib adalah barang miliknya. Jadi kita tunggu warta notis harta itu dan mulakan tindakan kita,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan untuk membuat tuntutan terhadap ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 buah buah kereta yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat yang dinamakan sebagai responden.
Harta-harta berkenaan disita oleh pegawai penyiasat polis antara 17 Mei 2018 hingga 11 Mac 2019 adalah berhubung dengan pelakuan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan responden-responden.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.