KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melakukan pembohongan yang amat dahsyat susulan pengesahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa wang sebanyak RM19.4 bilion hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak hilang.
Najib menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya berkata, laporan PAC yang dibentangkan dalam Dewan Rakyat hari ini merumuskan secara rasmi yang wang GST tidak hilang mahupun dirompak seperti didakwa Guan Eng tahun lepas.
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) layak digelar sebagai kerajaan kanggaru atau kerajaan gagal sekiranya Dewan Rakyat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Guan Eng yang jelas terbukti memfitnah serta berbohong dalam dewan mulia ini.
“Jika Guan Eng terlepas daripada tindakan setelah membuat pembohongan yang amat dahsyat ini, rakyat akan mempunyai keraguan untuk semua jawapan-jawapan yang diberi oleh menteri PH dalam Dewan Rakyat. Kita tengok kerajaan PH mengamalkan ‘rule of law’ atau ‘rule of Guan Eng’ nanti,” katanya di sini hari ini.
Isu tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion itu menimbulkan kontroversi apabila Guan Eng ketika sesi sidang Dewan Rakyat tahun lalu mendakwa wang tersebut ‘dirompak’ semasa pentadbiran kerajaan terdahulu sehingga perkara itu dibawa ke PAC.
Bagaimanapun, Pengerusi PAC, Datuk Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kutipan GST bernilai RM19.4 bilion tidak hilang seperti yang didakwa Guan Eng sebelum ini.
Menurut Noraini, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan. – UTUSAN ONLINE