KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum memutuskan sama ada Malaysia akan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) atau tidak, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr. Ong Kian Ming berkata, kerajaan masih memerlukan lebih masa untuk menilai perjanjian tersebut secara lebih teliti memandangkan CPTPP merupakan satu perjanjian yang kompleks dan komprehensif.
“Komitmen yang dipersetujui di bawah CPTPP mempunyai impak yang besar kepada sebahagian undang-undang, dasar dan peraturan serta amalan semasa kerajaan termasuk yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.
“Menjadi tanggungjawab kerajaan agar setiap FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) yang disertai Malaysia adalah bebas, adil serta selaras dengan hasrat kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan negara untuk manfaat ekonomi yang mampu diagihkan kepada golongan sasar,” katanya pada pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Chai Kim Sen yang ingin tahu status terkini berkenaan perjanjian perdagangan bebas berkenaan.