KUALA LUMPUR – Blok pembangkang hari ini berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Harapan kerana bersetuju mengadakan pindaan Perlembagaan Persekutuan merangkumi penurunan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan calon pilihan raya kepada 18 tahun.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan sebelum ini, menunjukkan keseriusan kerajaan dalam mendengar pandangan pihak pembangkang.
“Oleh kerana kerajaan telah setuju cadangan yang dikemukan, kita pastinya pembangkang akan menyokong usul pindaan ini yang akan dibentangkan esok,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, di Dewan Rakyat hari ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan RUU Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2019 yang dijadual untuk bacaan kali kedua, ditarik balik.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk menarik balik RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu bagi turut meminda perkara berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.