IPOH – Pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata untuk memberikan elaun itu, pihaknya perlu melalui beberapa prosedur serta melihat kedudukan semasa kewangan negara.
Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang mengkaji perkara itu dan sedang dalam peringkat perbincangan dengan Jabatan Perbendaharaan.
“Tahun ini tak mungkin, sedih untuk menyatakan. Tapi kalau dapat alhamdulillah, ia adalah bonus besar, daripada pandangan saya tidak mudah (untuk dilaksanakan) tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan Ibu Pejabat JBPM negeri Perak di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.