MELAKA – Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bagi membantu siasatan kes penyebaran video seks mirip menteri Kabinet baru-baru ini adalah mengikut undang-undang dan tidak wajar dipersoalkan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu diputuskan oleh pasukan penyiasat PDRM untuk memanggil atau menahan mana-mana individu bagi melengkapkan siasatan itu.
“Perkara itu (penahanan Farhash Wafa) diputuskan oleh pasukan siasatan, siapa perlu dipanggil beri keterangan akan dipanggil, siapa perlu ditahan juga itu hak pegawai polis mengikut undang-undang ditetapkan.
“Saya tidak beri laluan sesuka hati di mana mereka bertindak sesuka hati atau menganiaya orang, saya tidak melihat (penahanan) ini tidak adil dan jika ada dakwaan itu ia adalah tuduhan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Persatuan Pegawai Kanan Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRP) ke-90 tahun 2019 di sebuah hotel di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd. Rahim Jaafar; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd.; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Azisman Alias dan Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Abdullah.
Farhash Wafa yang juga Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempersoalkan penahanan remannya berkaitan kes video intim yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.
Menurut beliau, polis sepatutnya mengambil keterangannya sahaja dan bukan menangkapnya seperti seorang pembunuh.