KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd. (FGV) menjelaskan bahawa perbincangan mengenai penjualan saham miliknya dalam MSM Holdings Bhd. (MSM) masih di peringkat awal.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, FGV berkata, kumpulan sedang meneroka kerjasama yang berpotensi dalam industri sawit dan gula, baik dalam sektor huluan dan hiliran.
Katanya kerjasama berpotensi tersebut termasuklah pakatan strategik.
āFGV telah menyatakan dalam komunikasi terdahulu bahawa kumpulan sedang menjalankan pelan transformasinya yang meliputi mengkaji semula semua perniagaan yang kurang baik dan tidak berbayar, terutama pelaburan warisan kumpulan. Terdapat beberapa inisiatif yang berterusan dan berada di pelbagai peringkat kajian dan pelaksanaan.
āSejak kilang gula bertapis MSM di Johor mula beroperasi pada 2019, kapasiti penapisannya meningkat kepada 2.2 juta tan, membolehkan syarikat untuk memenuhi keperluan domestiknya dan mencari peluang baharu dalam pasaran eksport.
āOleh itu, FGV dan MSM sedang meneroka semua jalan untuk berjaya memasuki pasaran serantau dan antarabangsa, kami akan membuat pengumuman yang berkaitan pada masa yang sesuai sekiranya berlaku perkembangan material mengenai perkara ini,ā katanya. – UTUSAN ONLINE