SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk menutup kilang plastik yang beroperasi di negeri ini, walaupun telah menjalankan kempen bebas beg plastik sejak 10 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, ini kerana rakyat mempunyai hak untuk menggunakan beg plastik dalam aktiviti harian mereka.
“Kita tidak ada rancangan tutup kilang plastik sedia ada, mereka (pengilang) hendak hasilkan produk itu adalah kuasa mereka. Ini macam rokok, kita larang rokok tetapi kita masih benarkan kilang rokok untuk hasilkan rokok.
“Pengguna ada hak gunakan beg plastik, kita hanya didik pelanggan supaya mereka kurangkan penggunaan beg plastik. Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Loy Sian (PKR-Kajang) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar (Amanah-Meru) yang mempersoalkan tindakan Selangor terus membenarkan kilang plastik beroperasi, ketika menjalankan kempen bebas plastik.
Dalam pada itu, Loy Sian turut mempertahankan keputusan kerajaan Selangor, melarang premis makanan di Selangor menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggannya yang berkuatkuasa 1 Julai lepas.
Katanya, ini berikutan Selangor mahu rakyatnya menggunakan penyedut minuman keluli tahan karat (stainless steel) selain menggalakkan premis makanan menyediakan penyedut minuman kertas kepada pelanggan masing-masing.
“Saya juga galakkan semasa minum jangan guna penyedut minuman, guna mulut. Kalau kita boleh minum kopi panas dengan cawan, saya rasa tidak ada masalah minum minuman sejuk dengan cawan juga,” katanya.