KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menafikan tuduhan mengaitkan beliau bersama dengan seorang ADUN wanita negeri ini berdasarkan rakaman kamera Litar Tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sandakan, 11 Mei lalu.
Beliau berkata, pada masa ini, pihaknya sedang menyemak tuduhan itu kepada pihak peguam.
“Jika serius… saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.
“Saya nak melihat siapa terlibat dan kalau penyebarannya melampau kita akan buat tindakan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Sayangi Generasiku Pemadam Kuala Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Selangor di sini hari ini.
Ditanya adakah tindakan itu dilakukan ahli partinya sendiri, Amirudin tidak pasti tentang perkara itu.
“Saya khuatir ia jadi budaya membunuh seseorang (pemimpin) yang tidak disukai dengan mencipta fitnah,” katanya.
Amiruddin berkata, beliau masih rasional dalam segala tindakan dilakukannya sambil menegaskan terdapat kemungkinan ada pihak tidak berpuas hati disebabkan kenyataan media beliau sebelum ini yang menyelar tindakan kotor serta politik longkang daripada berleluasa.
“Saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan dengan rakaman itu. Tetapi, Alhamdulillah, saya yakin tidak pernah melakukan sebarang tindakan di luar batasan.
“Dakwaan itu tidak menjejaskan saya kerana tidak ada di lokasi seperti yang dinyatakan tetapi berada di Kuala Lumpur,” katanya.
Amirudin menegaskan, tuduhan itu tidak memberi kesan kepadanya secara individu namun bimbang ia memberi kesan kepada corak politik di negara ini.
“Ternyata cubaan menggunakan politik fitnah tak akan berjaya dan telah ditolak dalam tempoh 20 tahun dalam pengelaman kita sejak reformasi dahulu,” katanya.
Semalam, tular di Facebook mengaitkan Amirudin dengan seorang ADUN wanita negeri ini berada di hotel di Sandakan ketika pencarian CCTV dilakukan bagi mencari bukti kaitan video lucah mirip seorang menteri dan seorang individu yang mengaku terlibat dalam skandal berkenaan. – Sinar Harian